
KAMPUNG GAJAH: Pendekatan yang dilakukan oleh pihak Institut Agro Usahawan Eksekutif (iGROW) menerusi program ekonomi komuniti dilihat mampu meningkatkan perpaduan di kalangan peringkat akar umbi.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, program yang dikenali sebagai Program Kampung Integrasi Nasional (Kenal) berkenaan amat relevan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Ujarnya, program yang dilaksanakan itu amat bertepatan dengan hala tuju baharu Program Integrasi Nasional yang telah dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Tambahnya, program tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lebih baik dengan adanya iGROW.
“Cetusan idea menjayakan program seumpama ini akan memberi dimensi baharu kepada integrasi nasional yang berteraskan pembangunan masyarakat melalui kegiatan sosio-ekonomi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena lawatan kerja ke Program Perintis Komuniti Rukun Tetangga Integrasi Nasional (Kenal) di Mukim Pulau Tiga sini, hari ini.
Katanya, program berkenaan berjaya memberi impak positif dan berkesan kepada komuniyi daripada aspek ekonomi dan sosial.
“Bertemakan ‘Integrasi Nasional Merentasi Sosio-ekonomi dan Budaya’, ia merupakan satu pendekatan baharu yang komprehensif ke arah mensejahterakan masyarakat.
“Saya yakin program seumpama ini dapat memberi kesan langsung kepada komuniti serta mereka dapat merasai pengalaman sebenar dalam menjiwai matlamat integrasi nasional,” jelasnya lagi.
Beliau juga berharap agar program berkenaan dapat mencapai matlamat dan objektifnya dalam meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat berbilang kaum serta budaya di negara ini.