
KAMPUNG GAJAH: Draf Rang Undang-undang Akta Keharmonian Nasional (AKN) yang bertujuan untuk memupuk masyarakat agar sentiasa mengutamakan perpaduan negara kini berada diperingkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pihaknya telah selesai mengumpul segala pandangan yang diperolehi daripada pelbagai pihak.
“Sekarang kita telah pun selesai mendapatkan maklum balas daripada pihak akar umbi iaitu persatuan-persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan semua pihak tertentu yang memberi pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Perintis Komuniti Rukun Tetangga Integrasi Nasional (KENAL) di sini, hari ini.
Ujarnya, pandangan berkenaan diperolehi untuk melihat sama ada akta tersebut relevan ataupun tidak dengan keadaan semasa.
Tambahnya lagi, akta berkenaan diwujudkan bukan seperti undang-undang lain iaitu menjatuhkan hukuman yang terdapat di negara ini.
“Akta ini untuk memberikan kesedaran kepada mereka yang mungkin suka melakukan sesuatu perkara sedangkan mereka tahu ia boleh memecah belahkan keadaan keharmonian di negara kita ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu tribunal berkemungkinan akan diwujudkan bagi akta ini untuk melihat, mengkaji dan memberi kesedaran kepada mereka yang terbabit dalam pelaksanaannya.
Katanya lagi, beliau akan mengemukakan satu kertas berhubung akta berkenaan kepada kabinet dalam masa yang terdekat.
“Saya ingin melihat akta ini disukai oleh orang ramai, disukai oleh pemimpin supaya kita dapat mewujudkan satu sistem yang boleh menyatu padukan rakyat kita dengan lebih baik.
“Ini kerana, perpaduan sangat penting dan tanpa perpaduan ini negara kita tidak akan maju,” katanya lagi.
Terdahulu, AKN telah dicadangkan sebelum ini bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menarik balik cadangan tersebut dan mengekalkan Akta Hasutan.