
TANJUNG MALIM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menyifatkan pembentukan daerah baharu iaitu Daerah Muallim adalah cerminan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan di Perak tidak tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya melibatkan segenap pelusuk negeri.
Ujar Zambry lagi, perancangan yang teratur dijangka akan dilaksanakan, bagi memastikan Daerah Muallim yang merupakan daerah ke-11 di negeri ini, bukan sahaja mampu menampung pertambahan penduduk tetapi lebih penting, dapat mewujudkan persekitaran yang seimbang.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pengisytiharan Daerah Muallim yang telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), pagi ini
Beliau berkata, daerah itu diharap bukan hanya merangkumi pembangunan fizikal tetapi mempunyai roh keilmuan selaras kedudukannya yang pernah menjadi tempat golongan bijak pandai melontarkan ilmu dan menanam semangat patriotik.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Daerah Muallim, Nor Sham Rahman.
Tambahnya lagi, kedudukan Daerah Muallim yang tidak jauh dari kawasan pertumbuhan Lembah Klang, mampu membentuk peluang untuk menjadikan daerah ini lebih rancak pembangunannya.
“Dengan kemudahan dan jaringan pengangkutan yang semakin luas, jarak ibukota Kuala Lumpur ke Daerah Muallim menjadi ibarat sepelaungan.
“Ini bermakna akan berlakunya peningkatan pergerakan orang ramai yang mungkin akan memilih tinggal di sekitar Daerah Muallim tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Malah ini jugalah trend atau gaya hidup warga di kota-kota besar dunia,” katanya.