
IPOH: MH Pinnacle yang bakal dibangunkan bersebelahan dengan lebuhraya Utara Selatan dijangka mampu menjadi bangunan tertinggi dan mercu tanda baharu bagi Bandaraya Ipoh kelak.
Projek pembangunan bertingkat dengan nilai kasar pembangunannya sebanyak RM220 juta merangkumi bangunan pejabat, unit kediaman, hotel dan pusat membeli belah yang dijangka siap menjelang penghujung tahun 2018.
Pembangunan tersebut juga sekaligus menjadi sebagai bangunan tertinggi di Bandaraya Ipoh dan negeri Perak amnya.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pembangunan tersebut merupakan salah satu pendekatan yang berjaya yang dilakukan kerajaan negeri menerusi pelaksanaan projek berskla besar di Bandaraya Ipoh dan Perak amnya.
“MH Pinnacle adalah satu lagi projek mercu tanda untuk bandaraya Ipoh yang sebelum ini bandaraya ini hanya dikenali sebagai bandaraya yang mati selepas waktu malam,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas majlis pecah tanah projek pembangunan MH Pinnacle di sini hari ini.
Tambahnya lagi, pembangunan ini jelas semakin berkembang dan pantas membangun dengan perancangan teliti oleh Kerajaan negeri dan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Ketika ini bangunan tinggi yang telah perancangan mahupun sedang dibina termasuk juga telah sedia ada telah mengkangkau lebih daripada 20 kesemuanya dan akan lebih lagi kelak,” katanya lagi.
Ujar Zambry lagi, bangunan yang tinggi atau bangunan pencakar langit di kawasan bandaraya Ipoh masih sukar ditemui sebelum ini.
“Ianya bukan bermakna kita hanya sekadar membuat pilihan bagi memiliki bangunan sebegitu tetapi ianya menunjukkan pertumbuhan yang berlaku di negeri ini,” katanya lanjut.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar, PMB Perak, Datuk Aminudin Hashim, MH Pinnacle merangkumi dua blok bangunan setinggi 29 tingkat dan mencecah ketinggian 165 kaki dari paras aras laut, menjadikannya bangunan yang tertinggi di negeri Perak.
Jelasnya, blok pertama MH Pinnacle akan dikenali sebagai MB Inc.Tower dan juga dikenali sebagai pejabat baru PMB Perak. MB Inc. Tower yang akan menempatkan 72 unit bilik hotel, 27 unit kediaman yang akan diuruskan oleh pihak hotel kelak.
“Ianya juga merupakan bangunan pertama di Perak yang menawarkan ruangan pejabat bertaraf “gred A” berkonsepkan kaca ataupun “glass Tower”.
Manakala bagi blok kedua MH Pinnacle juga dikenali sebagai Amanjaya Tower yang akan menempatkan sebanyak 146 unit kediaman dan mensasarkan golongan yang berpendapatan sederhana tinggi, tinggu dan mereka yang mementingkan gaya hidup terkini.
MH Pinnacle juga bakal merangkumi sebuah pusat membeli belah yang akan dikenali sebagai Pinnacle Mall yang menempatkan 36 unit ruangan membeli belah (SOVO) dan pusat makanan ikonik ataupun Perak Signature food outlet.
Terletak di kawasan seluas 20167 ekar yang berkedudukan strategik iaitu bersebelahan dengan lebuhraya Utara Selatan, MH Pinnacle merupakan pembangunan usahasama dengan syarikat pemaju tempatan Man Hoe Holdings Sdn. Bhd.
Projek pembangunan ini juga dimajukan oleh Birchwood Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh MH Avenue (MHAV) iaitu syarikat usahasama di antara Perbadanan Menteri Besar (PMB) Perak dan Man Hoe Holdings.