
PARIT BUNTAR : Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu(IADA) Kerian menyatakan kesedian untuk mengadakan perbincangan dengan petani dalam mendapatkan cadangan berhubung jadual pengairan padi yang bersesuaian di beberapa daerah tersebut.
Perbincangan tersebut merangkumi jadual pengairan yang melibatkan setiap tujuh kompartment padi di daerah Kerian dan Sungai Acheh, Pulau Pinang.
Pengarahnya, Zahimi Hassan berkata, perbincangan dengan wakil petani di setiap kompartment akan diadakan segera bagi mengenal pasti cadangan waktu terbaik untuk bekalan air disalirkan ke sawah padi para petani.
Menurutnya, perbincangan itu telah diputuskan pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) Kerian dan Jabatan Pertanian daerah Kerian setelah menerima mengambil kira gesaan banyak petani yang mendesak jadual pembekalan air ke sawah padi dirangka sebelum ini dipinda.
“Menerusi perbincangan itu, wakil petani di setiap kompartmnt akan mengemukakan cadangan jadual pembekalan air ke sawah padi mereka yang dirasakan terbaik untuk kita nilai semula dan kaji.
“Sekiranya cadangan dikemukakan tidak menyebabkan jatuh musim menuai dan kerja penyediaan tanah bagi musim seterusnya pada musim tengkujuh, kita akan mempertimbangkannya.
“Keperluan penilaian dan penyesuaian jadual dicadangkan petani oleh kesemua agensi terlibat dengan pertanian padi disebabkan kami mahu memastikan kesemua petani mendapat bekalan air diperlukan mengikut jadual penanaman ditetapkan,”katanya sewaktu menyertai program turun padang agensi kerajaan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) Parit Buntar untuk meninjau keadaan sawah padi terjejas di Kampung Parit 1, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Md Ali, Pengerusi PPK Parit Buntar, Abdullah Salleh dan Pegawai Jabatan Pertanian daerah Kerian, Zuriana Ahmad.
Zahimi berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan berkaitan memandang serius terhadap aspek penjagaan jadual pembekalan air ke sawah padi petani memandangkan daerah Kerian sebenarnya mengalami masalah bekalan air kritikal disebabkan kemarau panjang sejak dua musim lalu.
“Berikutan itu, kita mementingkan dua faktor iaitu musim menuai dan kerja penyediaan tanah untuk musim penanaman baru tidak jatuh pada musim hujan.
“Sekiranya bersesuaian dan menepati dua faktor di atas, tiada masalah untuk kita rangka semula jadual baharu,”katanya.
Beliau turut mengulas mengenai rugutan para petani yang berhadapan dengan masalah hasil padi yang merosot sejak kebelakangan ini.
Zahimi menegaskan bahawa puncanya adalah disebabkan sebahagian besar sawah padi ‘tenggelam’ hingga hasil padi tidak dapat dituai oleh petani disebabkan oleh faktor musim hujan melangkaui jangkaan awal.
“Kebiasaannya musim hujan akan berhenti pada awal Disember dan membolehkan petani melaksanakan kerja menuai padi tanpa masalah.
“Namun sejak dua musim lalu, musim hujan hanya berhenti pada pertengahan Disember dan situasi ini menjejaskan kerja menuai padi.
“Pada musim kali ini, hasil padi di Kompartment A,B dan C yang paling terjejas disebabkan faktor tersebut, sedangkan dari segi jadual penanaman padi masih tidak berubah,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi PPK Parit Buntar, Abdullah Salleh turut menerangkan bahawa sejumlah 1,000 hektar sawah padi melibatkan Parlimen Parit Buntar terjejas akibat masalah hasil padi tidak boleh dituai.
Akibat daripada perkara itu, lebih 400 petani dikenal pasti terlibat iaitu telah mengakibatkan hasil padi petani pada musim penanaman padi kali ini terjejas teruk sebanyak 30 hingga 40 peratus.
“Kita minta proses pengawalan bekalan air ke sawah padi petani perlu diberi perhatian utama dan kemudahan infrastruktur di setiap kompartment sawah padi dinaik taraf bagi tujuan itu.
“Selain itu, petani sendiri perlu bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelenggaraan sistem infrastruktur kawasan sawah padi masing-masing tanpa perlu mengharapkan bantuan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Md Ali turut bersimpati dengan nasib sebahagian petani yang langsung tidak berpeluang mengambil hasil padi disebabkan masalah tanah sawah lembut.
Pihaknya berharap agar kesemua agensi kerajaan terlibat dapat meneliti semua jadual pengairan air ke sawah padi secara keseluruhan di daerah Kerian secara lebih terperinci.
“Cuma saya berharap petani juga perlu bertanggungjawab dan komited mematuhi perlaksanaan jadual pengairan ke sawah padi baharu yang bakal dirangka agensi terlibat kelak bagi mengelakkan masalah berbangkit pada musim hadapan.
“Mengenai kerugian dialami petani, saya akan panjangkan kepada Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi melihat bentuk bantuan bersesuaian kepada petani terjejas,”katanya.