Quantcast
Channel: Perak Hari Ini – Perak Today
Viewing all 5825 articles
Browse latest View live

Terima PPBM Jadi Agenda Utama Mesyuarat PH

$
0
0

IPOH:Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa mesyuarat Pakatan Harapan dijangka berlangsung pada minggu hadapan bakal membincangkan agenda utama iaitu penerimaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam keluarga besar parti tersebut.

Timbalan presidennya, Salahuddin Ayub berkata Amanah bersetuju dengan gabungan itu setelah mendengar sendiri maklumat parti itu daripada Pengerusi PPPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Konsep bersatu bukannya inginkan Pakatan Harapan tambahan tetapi menerima kehadiran Bersatu menjadi empat parti iaitu Amanah, PKR, DAP dan PPBM.

“Kita bersetuju dengan konsep itu supaya empat parti ini memperkukuhkan dalam Pakatan Harapan untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu sidang media pada Konvensyen Tahunan Pertama Amanah Negeri Perak di sini hari ini.

peraktoday1

Terdahulu ahli konvensyen turut mendesak agar Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dibebaskan segera tanpa syarat.

Malah tegasnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dinasihati supaya tidak memberikan sebarang alasan kepada pemohonan pendaftaran logo baharu gabungan parti pembangkang itu disertai PPBM.

“Kita akan mendaftarkan lambang parti ini, wujud lambang mesti mendahului untuk digunakan dalam PRU nanti hanya satu lambang sahaja digunakan dan ROS dinasihatkan tidak berdolak-dalik mengenai perkara ini.

“Pengalaman ketika di Pakatan Rakyat ketika ingin mendaftarkan pakatan Rakyat sampai akhirnya berlangsung PRU 13 mereka tidak meluluskan tanpa ada apa-apa alasan.. jadi jangan ada apa-apa alasan menolak pemohonan kami kali ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pertandingan dalam PRU-14 kelak AMANAH bakal bertanding di semua kawasan DUN dan Parlimen bagi menentang BN yang dijangkakan diadakan pada Mei tahun hadapan.

“Kita telah menggerakkan seluruh jentera pilihanraya di seluruh negeri dengan andaian berlakunya pilihanraya umum (PRU) sekitar Mei 2017

“Malah AMANAH telah menyiapkan kekuatan jentera di setiap peringkat dan pelancaran jentera di seluruh negara merangkumi dun, parlimen sebagai persiapan awal dan tidak panik sekiranya ia berlangsung pada tahun hadapan,” katanya.

Jelasnya lagi, AMANAH kini mempunyai 500 cawangan dan 156 peringkat Parlimen yang telah ditubuhkan dengan jentera kekuatan seramai 100,000 ahli dalam masa setahun penubuhannya.


7,000 Pelajar Terima Manfaat Program ‘Back to School’ Negeri Perak

$
0
0

LUMUT: Seramai 7,000 orang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak telah menerima manfaat daripada program ‘Back To School’ sepanjang tahun 2016.

Jumlah berkenaan telah meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan seramai 5,000 penerima.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program berkenaan merupakan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dari tahun ke tahun bagi membantu rakyat setiap kali apabila musim persekolahan bermula.

“Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang ini, ibu bapa memerlukan perbelanjaan yang banyak bagi menampung persekolahan anak-anak.

“Sebab itu kerajaan negeri mengambil inisiatif ini dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Program Back To School Perak 2017 (Bantu Kami Ke Sekolah) di sini, hari ini.

20161127_160410-1_crop_1023x647

Hadir sama, isteri beliau yang juga merupakan Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Exco Kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Back To School 2017, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Pada majlis tersebut, seramai 560 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang dan DUN Sitiawan telah menerima kelengkapan persekolahan termasuklah pakaian sekolah, kasut, beg, alat tulis serta botol minuman.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dengan kerjasama KPerak Incorporation serta Yayasan Perak.

Dalam pada itu, Muhammad Amin berkata, cetusan idea untuk mengadakan program berkenaan bermula daripada 2013 yang melibatkan hanya 2,000 penerima.

“Kita merasakan perlunya program ini diperluaskan di seluruh Perak bagi membantu golongan kurang berkemampuan serta membolehkan anak-anak dapat menikmati hari pertama persekolahan dengan hati yang gembira.

“Justeru, program ini diteruskan dan memperlihatkan peningkatan daripada segi penerima dari tahun ke tahun iaitu pada tahun 2014 mencatatkan seramai 4,000 penerima, 2015 (5,000 orang) dan 2016 (7,000 orang),” katanya lagi.

20161127_160610-1-1-800x594

Sementara itu, beliau berkata, bagi sesi kali ini, pengagihan telah dimulakan di DUN Sungai Manik pada 14 November 2016 yang lalu.

“Sehingga hari ini, sebanyak 51 DUN telah menerima bantuan persekolahan dengan jumlah keseluruhan seramai 6,110 penerima dan program ini dijangka berakhir pada pertengahan bulan Disember depan.

“Penerima sumbangan program ini terdiri daripada semua kaum termasuklah pelajar Melayu, Cina, India serta Orang Asli yang dipilih berdasarkan kriteria golongan sasar yang telah ditetapkan oleh YBUDR,” katanya.

Tegasnya, meskipun ada yang beranggapan bahawa sumbangan tersebut dilihat kecil tetapi pihaknya yakin ia sesuatu yang besar dihati anak-anak yang menerima bantuan tersebut.

Pengasuh Ditahan Disyaki Dera Bayi 11 Bulan

$
0
0

IPOH : Seorang bayi perempuan berumur 11 tahun telah dikejarkan ke hospital semalam berikutan dipercayai didera oleh pengasuhnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner, Datuk Gan Tian Kee berkata, bayi tersebut dipercayai didera oleh pengasuhnya di Pantai Remis, Manjung.

“Bayi tersebut dimasukkan ke Hospital Manjung dan doktor mengesahkan kecederaan bayi itu mempunyai unsur-unsur jenayah.

“Susulan itu, pihak polis telah menahan seorang wanita berumur 48 tahun di rumahnya di Taman Samudera, Manjung,”katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

perak-today-2

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara tersebut dilaporkan oleh seorang guru tadika yang mempunyai talian persaudaraan dengan bayi itu kepada pihak polis.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati,  bayi tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan juga lebam serta bengkak di bahagian badan.

“Pengasuh tersebut telah ditahan reman selama tiga hari, bermula hari ini.

“Suspek akan didakwa di bawah Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” tegasnya.

Barangan Plastik, Getah Terbakar

$
0
0

IPOH : Satu kebakaran yang melibatkan timbunan barangan plastik dan getah kitar semula di IGB Tasek,Jalan Perusahaan, Klebang, tengah hari tadi.

Menurut jurucakap bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, pihaknya telah menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, mendapati berlaku satu kebakaran terbuka di kawasan lapang melibatkan timbunan barang plastik dan barangan getah (kitar semula).

“Pihak syarikat telah menggunakan jentera berat ‘excavator’ bagi memudahkan operasi pemadaman di sebelah dalam timbunan barang kitar semula,”katanya.

whatsapp-image-2016-11-30-at-2-22-20-pm

BBP Ipoh turut menerima bantuan dari BBP Meru Raya bagi memadamkan kebakaran tersebut.

Beliau turut berkata, operasi ‘overhaul’ kini sedang dijalankan dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut.

Operasi memadam kebakaran itu diketuai oleh TPgB P Samasuvam.

Kes Buli di Sekolah Agama: Polis Buka Siasatan

$
0
0

IPOH: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Ipoh yang berlaku pada 17 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, polis telah pun merakam percakapan keenam-enam suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan kita juga telah memanggil tiga saksi yang merupakan rakan kepada mangsa.

“Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat dan kita menunggu arahan daripada Pegawai Pendakwa Negeri sama ada boleh menuduh suspek di mahkamah,” katanya.

1-1

Beliau berkata demikian ketika di temui pada Majlis Persaraan Warga PDRM Kontinjen Perak 2016 di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 442 pesara telah diraikan dan menerima sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Turut disampaikan adalah sijil ucap tahniah kepada 39 anggota polis berpangkat Sarjan yang telah dinaikkan pangkat kepada Sarjan Mejar.

3-1

Tegas beliau lagi, keenam-enam suspek yang merupakan pelajar tingkatan tiga di sekolah berkenaan kini telah dibuang asrama dan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga telah membuka siasatan berhubung tindakan 10 individu yang didakwa telah menyerang seorang daripada suspek kes buli berkenaan.

“Susulan kes buli berkenaan, lebih kurang 10 orang yang dipercayai mempunyai pertalian saudara dengan mangsa telah memukul dan mencederakan salah seorang suspek yang terlibat dalam kes ini di rumahnya.

“Polis telah mengenalpasti kesemua individu berkenaan dan kita akan buat tangkapan dalam masa terdekat.

“Kita buka siasatan dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh,” katanya lagi.

MB Inc Sumbang RM2 juta Kepada Kerajaan Negeri

$
0
0

IPOH : Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak menyerahkan sumbangan terus kepada kerajaan negeri berjumlah RM2 juta untuk tahun 2016.

Penyerahan sumbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sumbangan terus MB Inc ini merupakan tambahan kepada pelbagai bayaran lain kepada kerajaan negeri yang berjumlah RM29 juta bagi tahun ini iaitu dalam bentuk royalti bahan batuan dan bahan mineral, fi, dan ex-gratia.

Sumbangan tersebut tidak termasuk perbelanjaan sebanyak RM4.2 juta untuk menjalankan 184 aktiviti tanggungjawab sosial korporat dari tahun 2012 hingga tahun 2016.

Ainudin berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mempertingkatkan pendapatan hasil negeri.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk membangunkan semula industri mineral di Perak, kami komited untuk mempertingkatkan pendapatan hasil negeri.

“Ini melibatkan usaha memerangi kecurian dan ketirisan sumber hasil bumi Perak dan mempelopori industri-industri strategic yang berkapasiti menjadi sumber pendapatan baharu untuk kerajaan negeri,”katanya menerusi satu kenyataan.

MB Inc Perak diaktifkan semula pada tahun 2012 dan berperanan dalam tiga teras utama iaitu pembangunan mineral yang mampan, pembangunan hartanah yang bertanggungjawab dan mempelopori industri serta perkonsian strategik yang berdaya maju.

Wakil Rakyat Disaran Anjur Program Bahasa Dan Kesusasteraan

$
0
0

IPOH: Semua pihak terutama wakil-wakil rakyat disaran supaya dapat menganjurkan program-program bahasa di kawasan masing-masing.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),Datuk Abu Bakar Said berkata menerusi penganjuran program tersebut ia akan mendapat sambutan yang menggalakkan selain mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

“Lebih baik sekiranya pemimpin turut terlibat menyertai program bahasa dan kesusasteraan seperti mendeklamasi sajak, berpantun atau bersyair,” semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2016 di sini hari ini.

perak-today-7

Ujarnya program Bulan Bahasa Kebangsaan juga tidak dijalankan secara bermusim tetapi dilaksanakan secara berterusan kerana usaha menanamkan rasa megah bahasa kebangsaan bukannya bersifat bermusim.

“Selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020, seharusnya Bahasa Melayu menjadi Bahasa kebangsaan diberikan nilai ekonomi dan nilai komersial seiring dengan kemajuan negara.

“Bahasa kebangsaan perlu digunakan dengan meluas dalam semua bidang meliputi sektor awam dan swasta selaras amalan negara maju yang lain,” katanya lagi.

Tambahnya Bahasa Kebangsaan masih belum dilestarikan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu tinggi dan bahasa komunikasi biarpun selepas 59 tahun negara mencapai kemerdekaan.

perak-today-8

“Langkah memasyarakatkan bahasa Kebangsaan masih perlu diperkasakan dalam segala bidang seperti pendidikan, perundangan, sains dan teknologi, perdagangan dan perkhidmatan kewangan.

“Kita perlu menanamkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan supaya kita sentiasa berasa bangga menggunakannya dalam urusan seharian dengan penggunaan bahasa Kebangsaan akan menjadi mantap dan lebih meluas,” katanya.

Jelasnya lagi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan merupakan salah satu pemangkin utama dalam mewujudkan perpaduan di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) merupakan salah satu acara tahunan negara yang dianjurkan bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan.

Bertemakan “Satu Bahasa, Satu Jiwa, Satu Bangsa” program ini turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan forum antara institut Pendidikan Guru peringkat kebangsan kali ke-6/2016 Piala Menteri Besar Perak dan seminar jom Baca.

perak-today-2

Berhimpun Tanda Solidariti Terhadap Rohingya

$
0
0

IPOH : Hampir 150 orang berhimpun secara aman di hadapan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini sebagai tanda solidariti mereka terhadap isu kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Himpunan aman yang berlangsung selepas solat Jumaat tadi dianjurkan oleh pemuda Pakatan Harapan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Yang Dipertua IKRAM Perak, Mohd Fahmy Sarangat berkata, rakyat di negara ini khususnya di Perak perlu menunjukkan sokongan mereka terhadap etnik Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman junta Myanmar.

“Rakyat di negara ini khususnya di Perak perlu terus memberi sokongan kepada etnik Rohingya dan membantu dalam semua aspek.

“Sebagai rakyat Perak dan Malaysia, kita perlu menunjukkan rasa kebersamaan dalam konteks isu kemanusiaan supaya mereka tidak merasa keseorangan,”katanya ketika ditemui, hari ini.

1-3

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta agar kerajaan menunjukkan sikap serius dalam usaha-usaha yang dilakukan bagi menangani isu ini dengan lebih praktikal dan jelas.

Sementara itu, Exco Angkatan Muda Keadilan, Muhamad Aiman Aizuddin berkata, pihaknya akan menggembleng tenaga dengan pemuda parti pembangkang yang lain untuk memberi penerangan tentang isu yang melanda etnik Rohingya.

“Dalam satu sidang media semalam, kami membuat lima tuntutan iaitu tentera pengaman PBB dihantar ke kawasan krisis untuk melindungi golongan minoriti di sana, komuniti antarabangsa menekan pemerintah Myanmar, mendesak operasi ketenteraan Myanmar yang mensasarkan Rohingya dihentikan dan meminta pemerintah Myanmar mencari jalan penyelesaian.

“Saya juga menyeru agar masyarakat Muslim mengadakan solat hajat bagi menuntut keamanan di Myanmar,”katanya.


Tabung Solidariti Rohingya Peringkat Negeri Perak Dilancar

$
0
0

IPOH : Tabung Solidariti Rohingya Peringkat Negeri Perak dilancarkan malam tadi dengan misi untuk membantu etnik itu di Myanmar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pelancaran tabung tersebut telah bermula hari ini di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

“Kita sudah mulakan pada hari ini (semalam) dan bermula dari pagi. Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat, kita berjaya mengutip lebih dari RM7,000 apabila pasukan-pasukan kita bergerak ke agensi-agensi kerajaan untuk memohon sumbangan.

9

“Pada Jumaat minggu hadapan, kita akan lancarkan tabung ini di 600 buah masjid dan 30 buah surau diri Jumaat di seluruh negeri Perak dan diharapkan dengan tabung ini, kita dapat membantu saudara seagama kita di Myanmar,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jemaah yang hadir ke program tersebut turut dipertontonkan video-video kekejaman junya Myanmar terhadap etnik Rohingya sehingga ada yang menitiskan air mata.

Mohd Yusop turut berkata, isu yang melanda etnik Rohingya perlu mendapat perhatian serius dari semua pihak.

1

“Kita perlu ingat bahawa isu Rohingya ini, selain daripada isu tentang umat Islam, ianya tidak patut berlaku di zaman-zaman begini.

“Ia isu keganasan yang mungkin bukan sekadar tentang agama, tetapi tentang penghapusan etnik,”katanya.

Mengulas mengenai program malam tadi, beliau berkata, satu ceramah khusus tentang apa yang berlaku terhadap umat Islam di Myanmar telah disampaikan kepada hampir 300 jemaah yang hadir.

Sementara itu, Abd Rashid Kafaitullah yang merupakan antara etnik Rohingya yang berada di negara ini berkata, beliau mengharapkan agar negara-negara Islam dapat membantu masyarakatnya bebas daripada keganasan junta Myanmar.

“Kami minta tolong kepada negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia, termasuklah Thailand untuk membantu kami. Kami tidak boleh keluar (dari Myanmar).

6

“Semuanya dibunuh dengan kejam termasuklah bayi, wanita dan kanak-kanak. Ada yang ditembak di laut termasuklah kepala dipenggal.

“Kami tidak boleh berhubung dengan keluarga kami di sana. Kami menangis mengenangkan nasib keluarga kami di sana,”katanya yang sudah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu.

Bagi Najimollah Mir Ahmad, 17, beliau mengharapkan agar negara-negara lain dapat membantu menyelesaikan kemelut yang melanda sejak hampir 70 tahun lalu.

“Keluarga saya ramai yang sudah meninggal dunia. Wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol. Lelaki pula dipotong kepala dan ditanam.

“Kami berdoa kepada Allah agar urusan kami dipermudahkan. Kami juga mengharapkan negara-negara Islam dapat tolong menyelesaikan perkara yang sudah lama berlaku ini,”katanya.

MAPIM Kumpul Bukti Heret Myanmar Ke ICC

$
0
0

IPOH : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kini dalam proses mendokumenkan jenayah yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya untuk membawa negara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Islamic Human Rights Commission (IHRC) yang berpusat di London untuk membawa isu Rohingya ke ICC.

“Kita sedang mengumpul bukti-bukti, testimoni dan mencari siapa bertanggungjawab dalam isu ini sebelum kita bawanya ke ICC.

“Kami akan failkan kes ini di atas nama jenayah ke atas kemanusian. Ianya belum dilakukan sejak dulu lagi,”katanya ketika ditemui di Majlis Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

9

Turut hadir, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Ujarnya lagi, IHRC yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini menunggu MAPIM untuk menghantar laporan berkenaan.

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, pihaknya juga telah memberi kata dua kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai (genocide) terhadap etnik Rohingya yang masih berada di negara itu.

“Dalam tempoh tujuh hari, sekiranya pembunuhan etnik Rohingya ini belum reda, maka kita akan lancarkan boikot antarabangsa terhadap Myanmar.

 

“Apa sahaja aktiviti dengan Myanmar termasuklah perdagangan, acara sukan, pendidikan dan sebagainya akan diboikot.

8

“Hari ini (semalam) sudah masuk hari ketiga dan masih ada empat hari lagi. Kalau belum reda, kita akan lancarkan boikot ini di Kuala Lumpur dan dedahkan kepada dunia bahawa sekatan ekonomi ke atas Myanmar akan dikenakan semula,”tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, antara pendekatan lain yang diambil oleh MAPIM bagi menekan kerajaan Myanmar termasuklah melalui PBB, OIC dan ASEAN.

Tambah beliau, antara langkah yang diambil adalah pihaknya menggesa agar tentera pengaman dihantar di peringkat PBB, mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan isu Rohingya (peringkat OIC) dan membincangkan agar keahlian Myanmar dalam ASEAN digantung atau terus mengecam tindakan junta Myanmar itu (peringkat ASEAN).

Pengusaha Inap Desa Perlu Rebut Peluang

$
0
0

PASIR SALAK: Pengusaha inap desa (homestay) di negara ini khususnya di negeri Perak perlu mengambil peluang daripada kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia berikutan situasi berkenaan akan mewujudkan lebih banyak peluang kedatangan pelancong ke negara ini khususnya ke Perak.

Ujarnya, berkemungkinan lebih ramai pelancong akan memilih Malaysia sebagai destinasi yang boleh dilawati tidak kira sama ada pelancong antarabangsa mahupun domestik.

img-20161204-wa0004-800x600

“Negara ini akan menjadi pilihan pelancong antarabangsa untuk harga yang lebih kompetatif.

“Manakala pelancong domestik yang mempunyai kekangan daripada segi kos perbelanjaan pula mungkin akan memilih Malaysia untuk bercuti bersama-sama keluarga mereka tak kira hujung tahun mahupun cuti persekolahan.

“Kita lihat ada trend di situ dan kita harapkan pengusaha-pengusaha (inap desa) mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Homestay FELCRA Berhad Seberang Perak di sini, hari ini.

20161204_113304-1-800x520

Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad, Hassan Khamis dan Timbalan Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak, Hasnah Abd Kadir.

Pada majlis tersebut, Nolee turut menyampaikan sijil kepada 13 pengusaha inap desa yang terlibat dalam program Homestay FELCRA Seberang Perak.

Nolee berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan tambahan dalam produk inap desa seperti yang dilakukan melalui FELCRA Seberang Perak yang mana ia bertepatan dengan misi untuk menjayakan Tahun Melawat Perak pada 2017.

20161204_113836-1-800x517

“Kita lihat pengusaha homestay ini telah memilih beberapa faktor untuk menjadi daya tarikan atau keunikan mereka iaitu eko pelancongan berasaskan persekitaran semula jadi, pelancongan eko pendidikan dan juga pelancongan rekreasi desa yang melibatkan pelbagai aktiviti menarik.

“Selain itu, FELCRA juga telah merancang untuk mengadakan Pelan Pembangunan ‘One Stop Rural Development Center’ di Seberang Perak iaitu membangunkan industri baru dalam komuniti yang bermula pada tahun 2017.

“Empat sektor yang telah dikenalpasti dalam pelan pembangunan ini adalah membangunkan industri baru dalam komuniti agro pelancongan dan seminar, Hub pertanian, Hub pemprosesan produk serta Hub kajian dan pembangunan produk yang akan dijalankan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, FELCRA mempunyai sebanyak 11 inap desa yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan telah memiliki lesen untuk beroperasi.

“Di peringkat Homestay Malaysia, kita telah daftarkan sebanyak 335 kampung dengan jumlah 3,723 orang pengusaha.

“Kita lihat dari segi pendaftaran dan keluasan program homestay cukup penting dalam membangunkan elemen yang membawa limpahan ekonomi daripada industri pelancongan kepada masyarakat luar bandar yang mana ia bersesuaian dan bertepatan dengan konsep pelancongan yang diambil oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Usaha ‘Hijaukan’ Bandaraya Ipoh

$
0
0

IPOH:Usaha bagi menghijaukan persekitaran Bandaraya Ipoh dan sekitar negeri ini memerlukan usaha dan kerjasama berterusan daripada semua pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tugas itu tidak seharusnya digalas oleh pihak Kerajaan semata sebaliknya melibatkan badan bukan Kerajaan (NGO) juga orang awam sendiri.perak-today-3

“Program “Green for Ipoh” merupakan contoh yang baik apabila melibatkan usaha daripada pihak bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu menghijaukan Ipoh dengan menghidupkan satu langkah yang unik bagi Bandaraya ini,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas merasmikan program Green For Ipoh di sini hari ini.

perak-today-1

Jelasnya, usaha itu perlu dipergiatkan apabila Penerbit buku panduan kembara global, Lonely Planet telah menyenaraikan Perak antara 10 Wilayah Terkemuka Dunia pilihannya bagi tahun depan.

“Saya sangat berbangga dan apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga turut bersama dan tidak hanya bertindak sebagai penguatkuasa semata malah perlu menjadi fasilitator dalam usaha yang baik,” katanya lagi.

 

Ujarnya lagi, menerusi hubungan yang baik komuniti lain akan turut serta dan ini adalah contoh usaha semua bagi menjayakannya.

“Kita perlu menggalakkan semua bagi menghijaukan bandaraya di Perak melibatkan semua pihak sebagai contoh Dasar Hijau yang diketengahkan sekian lama.

“Malah sehingga kini kehendak terhadap kebersihan yang menjadi polisi kerajaan melibatkan kerjasama semua pihak,” katanya.

“Green for Ipoh” merupakan program yang dianjurkan oleh pelajar Komunikasi Quest International University Perak (QUIP) dan kerjasama Ipoh Old Town (Kong Heng Square) serta sokongan daripada Tourism Malaysia Perak.

Program ini berlangsung sepanjang empat minggu bermula pada 27 November sehingga 18 Disember yang berperanan memberi pendedahan dan kesederan kepada umum mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.perak-today-4

Sementara itu beliau mengulas mengenai pemilihan Perak sebagai lokasi pertama Projek Perumahan Rakyat, Rumah Transit Belia dan terbaharu MyBeautiful New Home (MyBN) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungan perbahasan usul pada akhir Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Jelasnya, berkemungkinan Manjung akan dipilih sebagai lokasi kepada pembangunan tersebut.

“Perak dipilih sebagai lokasi pertama bagi memperkenalkan konsep ini bersama Kementerian Kewangan dilaksanakan tempoh terdekat dengan mencari lokasi yang sesuai manakala pihak Kerajaan menyediakan sumber kewangan,” kata Zambry.

Perlu Terus Bantah Kekejaman Terhadap Etnik Rohingya

$
0
0

IPOH:Orang ramai diseru supaya tampil bersuara dan membantah sekerasnya kekejaman yang menimpa kumpulan etnik Rohingya di Myanmar kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pembelaan terhadap etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar bukan soal campur tangan Malaysia di negara itu, sebaliknya ia adalah atas dasar kemanusiaan.

“Rohingya bukan satu isu kaum semata tetapi isu kemanusiaan dan kita tidak boleh membiarkan kekejaman berlaku di kelompok komuniti Asean,” katanya kepada media di Ipoh hari ini.

Tambahnya lagi, usaha perlu diketengahkan bagi mewujudkan keamanan dalam kelompok Asean dan bukannya berkisar mengenai campur tangan dalam masalah dalaman sesebuah negara.

“Manusia dibakar hidup-hidup dan dicincang-cincang begitu bagaimana kita boleh membenarkan perkara itu berlaku dikawasan berhampiran kita,” katanya lagi.

Katanya, telah menjadi tanggungjawab kita sebagai satu satu komuniti negara dan selaku ahli Asean perlu bangkit menyuarakan mengenai penindasan etnik Rohingya.

“Ini bukan hanya kerana Rohingya tetapi disebabkan kerana manusia ..kita tidak boleh diam dan perlu bersuara mengenai perkara ini malah semua rakyat perlu bangkit menyuarakannya kekejaman ini,” katanya.

Terdahulu,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri Himpunan untuk Ummah Rohingya hari ini, walaupun beliau telah digertak kerajaan Myanmar.

Mangsa Banjir di Perak Meningkat

$
0
0

IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak setakat jam 9 pagi ini sebanyak 109 orang melibatkan dua pusat pemindahan sementara.

Menurut sumber Jurucakap Balai Bomba Dan Penyelamat Perak, seramai 71 penduduk daripada 17 keluarga dari Kampung Padang Serai dipindahkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Manakala seramai 38 penduduk melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Pengkalan Ara dekat Sungai Manik yang terjejas banjir berada di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara.

Sehingga petang semalam paras air banjir di Kampung Padang Serai ketika ini antara 0.5 meter hingga 1.4 meter dan keadaan cuaca mendung manakala di Kampung Pengkalan Ara pula, paras air setinggi 1 meter dan cuaca juga mendung.

Banjir : Pusat Pemindahan SK Pengkalan Ara Ditutup

$
0
0

IPOH : Pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Ara, Labu Kubung di daerah Hilir Perak, ditutup hari ini.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Shahrunaim Radzali berkata, keadaan banjir melibatkan sembilan keluarga di Kampung Pengkalan Ara telah pulih sepenuhnya.

“Semua penduduk terlibat telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan bantuan pihak APM dan RELA.

“Sehubungan dengan itu, Pusat Pemindahan Sementara SK Pengkalan Ara ditutup mulai 1.30 petang, hari ini,”katanya menerusi satu kenyataan.


Acuan Sedia Ada Sebagai Persiapan Hadapi PRU14

$
0
0

LUMUT: Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan acuan atau ‘template’ pilihan raya sedia ada sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU ke 14, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menteri Besar itu berkata, ia berikutan, acuan berkenaan telah terbukti keberkesanannya melalui kemenangan yang dicapai dalam pilihan raya kecil (PRK) yang lalu.

Ujarnya, acuan itu juga digunakan dalam mengurus dan membuat perancangan dalam menghadapi PRU selaras dengan perkara yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebaik berakhirnya PRU 13 yang lalu, kita sudah buat persiapan ini,tetapi kita telah diuji dengan PRK.

“Maka yang disebutkan oleh Timbalan Presiden dianggap merupakan kesinambungan yang dibincangkan oleh kami kerana beliau sendiri berasal dari negeri Perak dan beliau tahu apa yang dilakukan khususnya daripada segi persiapan termasuk bilik gerakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zambry berkata, acuan yang digunakan di negeri ini turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau meminta agar ianya dapat dikongsi bersama dengan BN di negeri-negeri lain.

“Biasanya kami bertukar-tukar pandangan dengan mereka daripada segi bagaimana untuk memperbaiki parti dari semasa ke semasa melalui persiapan yang ada.

“Begitu pendekatan BN yang mana kita saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau ada kekurangan di peringkat negeri dan ada kelebihan di negeri lain, kita dapat bertukar-tukar pandangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak hanya akan menumpukan kepada satu-satu kawasan sahaja dalam menghadapi PRU itu nanti, sebaliknya tumpuan akan diberikan terhadap semua kawasan.

“Perkara asas yang perlu diberikan perhatian adalah memberi tumpuan bagi kawasan-kawasan yang telah pun kita menang untuk memastikan kerajaan dapat dibentuk.

“Selain itu, kita ada 59 kerusi, sudah tentu kita perlu beri penekanan kepada setidak-tidaknya 31 kerusi. Tetapi itu tidak bererti kita hanya tumpu kepada kawasan itu sahaja, kita beri perhatian lebih daripada itu.

“Mungkin ada yang kata mustahil tapi saya tidak fikir dalam politik dan pilihanraya, ianya satu yang mustahil untuk kita capai.

“Ini berdasarkan kepada fakta kemenangan dan pencapaian yang ada dalam sejarah pilihanraya di Malaysia dan juga negeri Perak,” katanya lagi.

600 Pelajar DUN Pangkor Terima Sumbangan ‘Kembali Ke Sekolah 2017’

$
0
0

LUMUT: Seramai 600 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menegah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor telah menerima sumbangan sempena program ‘Kembali ke Sekolah 2017’ (Back to School).

Program pada kali ini telah mendapat penajaan daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menyumbangkan barangan seperti pakaian seragam, kasut sekolah dan juga seluar sukan.

Sumbangan telah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Majlis Penyampaian Kelengkapan Sekolah ‘Kembali ke Sekolah 2017’ DUN Pangkor yang dikelolakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan kerjasama TLDM di sini, hari ini.

4

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid.

Zambry berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan daripada pihak lain khususnya dalam menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini.

“Ini merupakan pendekatan yang selalu digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

7

“Terima kasih kepada pihak PLUS yang turut bersama-sama membantu dalam memberikan bantuan khususnya kepada pelajar di DUN Pangkor ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut di sini, hari ini.

 

Dalam pada itu, Noorizah berkata, pihaknya telah memperuntukan sejumlah RM1.3 juta bagi menyediakan kelengkapan persekolah kepada kira-kira 7,500 pelajar di seluruh negara pada tahun ini.

3

“Ini merupakan tahun ketiga PLUS melaksanakan program komuniti ‘Kembali ke Sekolah’ yang merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak kami.

“Tahun lepas kita telah memilih Kuala Kangsar manakala tahun ini Pangkor menjadi lokasi untuk program kali ini.

“Kita akan bertukar-tukar lokasi bagi membolehkan semua rakyat merasa manfaat daripada sumbangan yang kita berikan ini,” katanya.

8

MBI Rangkul Anugerah Emas Tandas Terbaik Kategori Pejabat Kerajaan

$
0
0

IPOH : Majlis Bandaraya Ipoh telah merangkul Anugerah Emas Tandas Terbaik Kategori Pejabat Kerajaan sempena Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1 Malaysia 2016 Karnival Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2016, semalam.

Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria telah mewakili MBI menerima anugerah tersebut daripada Menteri KPKT Tan Sri Noh Omar di majlis yang diadakan di Dataran Merdeka.

Tandas yang menjadi kebanggaan warga MBI ini yang terletak di Bahagian Perkhidmatan Bandar MBI di Buntong  telah diilhamkan sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, .

Selain itu, MBI juga telah memperolehi Anugerah Emas bagi tandas awam Restoran Tandoor Grill serta Anugerah Perak bagi tandas Masjid Muhammadiah, Kompleks AEON Klebang dan Stesyen Minyak Jalan Kuala Kangsar.

“Kejayaan ini adalah rentetan kecemerlangan kerja berpasukan Datuk Bandar, Setiausaha Bandaraya, Ahlimajlis, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan dan keseluruhan anggota Majlis Bandaraya Ipoh.

“Semoga kejayaan ini akan membakar semangat warga Majlis  Bandaraya Ipoh untuk meletakkan MBI di dalam kelompok tiga Pihak Berkuasa Tempatan terbaik di Malaysia,”kata MBI menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kebakaran HSA: Kementerian masih tunggu laporan JKR

$
0
0

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi terbabit mengenai kebakaran tingkat dua unit rawatan rapi selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata setakat ini, pihaknya telah menerima laporan awal daripada HSA mengenai kejadian itu dan sedang menelitinya.

“Kami berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai perkara terperinci (laporan) dan menunggu laporan JKR dan agensi lain sebelum kita boleh membuat keputusan tentang kejadian itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Ampang dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata kementerian bercadang menambah baik fasiliti di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang dalam masa terdekat.

Ini kerana, katanya, ramai pesakit mendapatkan rawatan bagi kes-kes bukan kecemasan di jabatan kecemasan hospital itu.

“Mereka (pesakit) menyatakan bahawa ia (jabatan itu) adalah tempat di mana mereka boleh datang dan mendapatkan rawatan serta merta berbanding tempat lain di mana mereka perlu membuat temu janji.

“Proses ini perlu dipermudahkan supaya orang ramai boleh menghubungi dan pergi ke bahagian berkenaan…jadi, mereka tidak perlu ke jabatan kecemasan untuk kes seperti selesema dan batuk,” katanya.

Dr Subramaniam berkata kementerian akan meninjau klinik-klinik di kawasan itu untuk meningkatkan keupayaan merawat kes-kes bukan kecemasan.

“Ini adalah sebahagian daripada cara di mana kita cuba mengoptimumkan kemudahan di klinik supaya hospital digunakan dengan sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Pelukis Anak Perak Pamer Karya Di Pameran Limpahan Warna 2016

$
0
0

IPOH : Bertemakan ‘Mendendangkan Kawasan Yang Belum Pernah Didendangkan’, Pameran Limpahan Warna 2016 membuka tirainya secara rasmi hari ini di Muzium Darul Ridzuan.

Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohd Kamil Shafie berkata, seramai hampir 70 pelukis anak Perak menerokai kawasan-kawasan yang tidak dikunjungi ramai seperti Ara Panjang (Manong), Bagan Serai, Bagan Datoh dan beberapa kawasan lain.

“Mereka (pelukis) ini melakarkan apa yang mereka lihat ketika mereka melawat ke kawasan tersebut dan menterjemahkan ke seni visual.

peraktoday2

“Setelah diberi ruang masa yang baik untuk melukis dan akhirnya kita mengadakan pameran pada hari ini,”katanya ketika ditemui selepas merasmikan pameran tersebut, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim dan Pengarah Bahagian Media Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Alizam Hasan.

Pameran Limpahan Warna 2016 ini merupakan kolaborasi antara Persatuan Pelukis Perak, UiTM, UPSI, Perak Art Society dan Institut Perguruan Guru Malaysia (IPG) Ipoh dan mendapat sokongan dari Balai Seni Visual Negara, Muzium Darul Ridzuan dan Tourism Perak.

peraktoday1

Kamil berkata lagi, bersesuaian dengan Tahun Melawat Perak 2017, pameran seperti ini dapat menarik peminat-peminat seni visual domestik dan antarabangsa untuk melihat pameran yang dianjurkan.

“Kita mungkin menganjurkan beberapa siri pameran lain untuk tahun hadapan dan dalam masa yang sama untuk mencungkil bakat-bakat seniman di Perak untuk diketengahkan.

“Kita ingin menjadikan Perak ini sebagai hub kreativiti. Bukan sahaja untuk mempamerkan lukisan, tetapi perkara-perkara lain seperti puisi, muzikal, tarian dan sebagainya untuk dipamerkan,”katanya.

Pameran ini dibuka bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang bermula 3 Disember lalu sehingga 30 Disember ini.

Viewing all 5825 articles
Browse latest View live