IPOH: Wang tunai berjumlah RM100,000 menanti para pemenang bagi semua kategori yang dipertandingan dalam Ipoh International Run 2015 (IIR) 2015 yang akan berlangsung pada 15 November ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, penganjuran IIR yang memasuki kali ke-20 ini telah dimasukkan dalam salah satu program Kalendar Pelancongan Negeri Perak dan Malaysia.
“Pada tahun lalu, IRR telah mencatat rekod penyertaan seramai 9,000 orang pelari tempatan dan seluruh dunia.
“Pada tahun ini, kita juga menyasarkan 10,000 pelari untuk menyertai IIR 2015. Setakat hari ini, IIR 2015 telah mencatat penyertaan seramai 9,100 pelari,”katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Tajaan dan Sidang Media IRR 2015 di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini.\
Tambahnya lagi, antara peserta antarabangsa yang telah mengesahkan kehadiran dan penyertaan mereka pada tahun ini adalah seperti Kenya, United Kingdom, China, Nigeria, India, India, Nepal, Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia, Taiwan dan Myanmar.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja yang sudi menaja IRR tahun ini.
Sebanyak 16 penaja telah bersetuju untuk menaja pada penganjuran kali ini.
“Saya amat terharu atas komitmen dan kesudian para penaja memberi sumbangan dalam bentuk tajaan dalam memastikan kejayaan IIR 2015 tahun.
“Saya percaya, para penaja turut merasa bangga dengan sumbangan yang telah diberikan bagi menjayakan IIR 2015 dalam membantu mempromosikan pelancongan sukan di Bandaraya Ipoh,”katanya.
Pelepasan peserta IIR 2015 akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Terdapat 11 kategori dalam penganjuran kali ini seperti Kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa (Terbuka), Lelaki Veteran (40 tahun ke atas), Wanita Veteran (35 tahun ke atas), Lelaki dan Wanita Terbuka (13 tahun ke atas), Lelaki Senior Veteran(50 tahun ke atas), Lelaki dan Wanita Terbuka (16-18 tahun) dan Lelaki dan Wanita Junior (13-15 tahun).
Peserta bagi kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa serta Lelaki Veteran akan berlari sejauh 21 Kilometer (KM), Lelaki dan Wanita Terbuka serta Lelaki Senior Veteran (10KM), Lelaki dan Wanita Terbuka (7KM) dan Lelaki dan Wanita Junior (5KM).
Hadiah wang tunai menanti pemenang dari juara hingga ke tempat 20 makala pingat akan diberikan kepada johan hingga ke tempat ke 150.
-Perak Silver Youth