
IPOH:Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan pengurusan Perbadanan Menteri Besar atau (MB Inc) adalah telus terutama dalam pembangunan aset dan mineral yang mampu menjana ekonomi negeri.
Beliau menegur ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang melemparkan tuduhan buruk kononya Perbadanan itu seolah-olah langsung tidak berfungsi dan menjana hasil negeri.
“ADUN Kepayang begitu yakin menyebut statistik-statistik yang menggambarkan bahawa seolah-olah Perak berada dalam situasi yang teruk.
“Berulang kali tajuk tersebut dibangkitkan dalam sidang dun dan saya telah menjawabnya namun ia masih menjadi permainan politik pihak pembangkang,” katanya kepada pemberita di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh hari ini.
Tambahnya lagi, kebencian yang ditunjukkan pembangkang terhadap MB Inc Corporated amat jelas walaupun beliau berulang kali menegaskan bahawa MB Inc diwujudkan pada 1951 dan terbiar begitu sahaja pada ketika itu.
“Usaha kerajaan negeri untuk membangunkan semula agensi-agensinya kerana di negeri yang lain mempunyai Perbadanan MB Inc untuk hidup aktif.
“Kita telah mengkhususkan mengenainya supaya agensi kerajaan negeri dapat berfungsi secara khusus,” katanya.
Zambry menjelaskan bahawa MB Inc sendiri memfokuskan kepada perkara yang berkaitan pembangunan aset dan mineral .
“Dengan pengurusan MB Inc kita memastikan kerana ia bukan milik hak perseorang tetapi merupakan agensi yang dapat memelihara daripada berlakunya kebocoran yang serius.
“Pengenalan sistem daripada MB Inc hasil kita perolehi berganda dan royalty kepada kerajaan dahulunya sedikit tapi sekarang ini hasil diberikan semula dalam tempoh dua tahun berkali ganda,” katanya.
Mengenai dakwaan Nga Kor Ming mengapa tidak dibentangkan rekod laporan perbadanan itu pada sesi persidangan dewan, katanya dari segi perjalanan ia masih terlalu awal dan tidak menjadi masalah untuk dibentangkan dari segi rekod.
“Seperti mana agensi lain, perbandingan di negeri tertentu MB Inc tidak dibentangkan di dewan bagaimanapun tidak bermakna rekod laporan kewangan langsung tidak dibentangkan.
“Ia dibentangkan di peringkat mesyuarat Lembaga sekiranya wujud dakwaan kononnya satu penipuan dasar berlaku kita tiada masalah untuk membentangkannya,” katanya lagi.