
IPOH: Skuad The Bos Gaurus mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menewaskan pasukan Kuantan FA, 1-0, di Stadium Perak, malam tadi.
Jaringan tunggal pasukan Perak dijaringkan oleh pemain import, Vokhid Shodiev pada minit keempat.
Beraksi di laman sendiri, skuad The Bos Gaurus ternyata mempunyai kelebihan apabila mempamerkan aksi-aksi cemerlang dihadapan 10,000 penonton.
Sepanjang perlawanan, dapat dilihat pasukan Perak lebih banyak melakukan serangan namun gagal menambah jaringan.
Jurulatih skuad The Bos Gaurus, Syamsul Mohd Saad berkata, beliau yakin skuadnya mampu menjaringkan gol yang lebih banyak dengan peluang yang ada.
“Saya bukannya kecewa, tetapi saya berpendapat bahawa kita boleh menjaringkan lebih lagi gol untuk menaikkan lagi moral terutamanya di bahagian serangan.
“Saya nampak selepas kita menjaringkan gol, ada beberapa orang pemain kita yang belum ‘score’ cuba untuk menjaringkan gol…saya tak cakap individu, cuma misi itu lebih kepada individu, cuba nak menjaringkan gol.
“….mungkin niat dia (pemain) itu betul, untuk mendapatkan keyakinan, melepaskan tekanan tetapi ianya sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan ,”ujarnya.
Beliau bagaimanapun bersyukur dan gembira apabila Perak berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA.
Sementara itu, jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria ketika ditemui berkata, walaupun tewas kepada pasukan Perak, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen para pemain dibawah kendaliannya.
“Bila kita buat satu kesilapan, ianya memberi kesan kepada corak permainan kita. Jadi saya harap ianya menjadi pengajaran kepada pasukan kita.
“Tambahan pula, kita bermain dengan pasukan yang mempunyai banyak pengalaman, jadi apabila kita membuka ruang untuk pihak lawan, kita mencipta masalah dalam permainan,”ujarnya.