
PARIT BUNTAR : Beranggapan pada mulanya bau asap kuat datangnya pembakaran sampah sarap dari belakang rumah, sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami rumah mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Parit Mat Alam, di sini malam kelmarin.
Mangsa kebakaran, Abdul Samad Asab,52, berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam, sedang berada di dalam rumah, manakala isterinya berada di pekarangan rumah sedang membakar sampah-sarap yang dikumpul.
Menurutnya, beberapa minit selepas itu, dia terbau asap yang kuat datang dari arah belakang rumah, namun menyangka bau itu datang daripada asap pembakaran sampah.
“Bagaimanapun, bau asap itu semakin kuat dan saya segera meminta isteri meneliti bahagian dapur kerana yakin bau itu datang dari arah itu.
“Sebaik isteri dari arah pekarangan rumah membuka pintu dapur, kami terkejut mendapati api sudah marak membakar belakang rumah,”katanya kepada media di sini semalam.
Abdul Samad berkata, isterinya terkejut melihat kejadian itu dan menjerit mengarahkannya keluar dari rumah memandangkan mereka hanya tinggal berdua ketika itu.
Menurutnya, sebaik meninggalkan rumah, mereka terdengar bunyi letupan gas dari bahagian dapur dan api mulai merebak ke seluruh bahagian rumah dengan pantas.
“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berharga dan jumlah anggaran kerugian ditanggung lebih RM7,000.
“Kejadian ini merupakan dugaan besar kepada kami sekeluarga, namun kami bersyukur tiada kehilangan nyawa,”katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Parit Buntar, Penguasa Bomba Kanan II Ahmad Rossyed memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.24 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya mengenal pasti kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas ‘C’ musnah terbakar sebanyak 60 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang tercedera dan anggota bomba menggunakan satu aliran 800 kaki dua pancutan bersumberkan air terbuka bagi memadamkan sepenuhnya api kebakaran.
“Sehingga kini, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,”katanya.