
IPOH: Perlumbaan basikal, Perak Century Ride (PCR) 2016 pada 29 Mei ini dijangka berupaya menarik penyertaan lebih 3,000 pelumba termasuk pelumba dari Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara.
Perlumbaan edisi kedua kali ini adalah sejauh 160 kilometer anjuran kelab berbasikal, Levelo Cycling Club setakat ini sudah berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan.
Pengerusi Levelo Cycling Club, Sharudin Not berkata, selain pelumba tempatan, PCR kali ini juga sudah menerima penyertaan pelumba dari negara-negara Asia Tenggara terutama dari Singapura, Thailand dan Filipina.
Tambahnya lagi PCR kali ini juga disertai oleh pelumba dari Eropah iaitu dari Jerman dan Switzerland serta rantau Asia seperti Bahrain dan Iran.
Katanya, PCR 2016 masih mengekalkan laluan yang sama seperti juga edisi tahun lalu yang bermula dari Meru Raya di sini dan melalui lima daerah lain iaitu Kinta, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kinta Barat.
“PCR kali ini bakal menguji ketahanan fizikal dan mental pelumba terutama ketika menempuh laluan pendakian di Bukit Senggang dekat Kuala Kangsar selepas laluan mendatar dari Meru Raya sehingga ke Sungai Siput.
“Istimewanya PCR kali ini kita menawarkan gelaran ‘Raja Bukit’ untuk pelumba pertama yang melepasi cabaran di laluan berbukit menerusi check point yang akan diberitahu kelak,” katanya.
Ujarnya, selepas pendakian di Bukit Senggang, para pelumba bakal memasuki pekan Parit, lebuh raya Ipoh-Lumut seterusnya menamatkan perlumbaan di Meru Raya.
Katanya, lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki dan Wanita Terbuka, Junior dan Senior Veteran dan Kategori Junior.
Penganjuran PCR 2016 turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Perak, Silveryouth, Institut Darul Ridzuan (IDR), Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) dan PCR Management.
Ujarnya lagi bagi PCR kali ini juga akan mengadakan pameran dan jualan barangan otomotif, basikal, jersi serta produk-produk Le Tour de Langkawi di Hotel Casuarina@Meru di sini pada 28 dan 29 Mei.
“Kami menjangkakan sambutan dan penganjuran yang lebih hebat untuk PCR kali ini.
“Ini sejajar dengan hasrat kami untuk menjadikan PCR sebagai antara acara utama dan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Perak,” katanya.
Maklumat lanjut dan pendaftaran untuk menyertai PCR 2016 boleh dibuat menerusi laman sesawang www.cyclingevents.my dengan bayaran RM130 bagi setiap penyertaan.
Tarikh tutup penyertaan pada 30 Mac ini dan sebarang pertanyaan sila hubungi En. Sharudin di talian 019-4311000.