
SELAMA: Koperasi di seluruh negara disaran untuk mengetengahkan produk-produk keluaran orang kampung ataupun Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ke pasaran yang lebih luas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta agar pihak koperasi mempertingkatkan jualan produk orang kampung yang sedia ada.
“Banyak produk-produk di kawasan kampung boleh dipasarkan. Terdapat beberapa peluang orang kampung dapat diketengahkan ke pasaran.
“Bila kita kata masalah sara hidup ini walaupun ekonomi dunia lembab tapi orang kampung tak tertekan sangat sebab amalan gaya hidup lebih kurang sama sahaja sentiasa,”katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Anak Angkat Maktab Koperasi Malaysia (MKM) di Sungai Bayor, di sini, pagi tadi.
Tambah Hamzah lagi, ianya dapat memberi pendapatan tambahan kepada orang kampung sekiranya produk-produk tersebut diketengahkan dalam pasaran.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak MKM kerana berjaya menganjurkan program khidmat masyarakat kepada penduduk di Sungai Bayor.
“Rakyat disini dapat memahami konsep koperasi itu dimana kita dapat bekerjasama melalui konsep satu untuk semua, semua untuk satu.
” Kita turunkan konsep ini kepada masyarakat di sini supaya amalan ini dapat diamalkan bukan sahaja dalam koperasi tetapi di institusi-institusi lain untuk dijadikan amalan,” ujar Ahli Parlimen Larut itu.