SELAMA: Meskipun bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak lahir, Adnan Sani, 45, bersama-sama isterinya, Aslia Hasman, 32, gigih membesarkan empat orang anak mereka dalam hidup yang serba kekurangan.
Bagai jatuh ditimpa tangga, keperitan Adnan sekeluarga dalam membesarkan empat orang puteranya, Muhamad Syafiq 18, Muhammad Hafizudin, 16, Muhamad Helmi Husairi, 14 dan Khairul Iqbal, 12 bertambah apabila beliau terlibat dalam kemalangan kira-kira dua bulan lalu.
Dalam kemalangan tersebut, Adnan mengalami patah lapan tulang dibahagian tangan, paha dan kaki. Akibatnya, Adnan kini terlantar dan tidak dapat bergerak untuk bekerja di bengkel motorsikal.
“Hidup kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, namun saya perlu kuatkan semangat dan tabahkan hati demi anak yang masih bersekolah,”katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Sangkut, Ijok, Batu Kurau, di sini.
Disebabkan keadaannya yang hanya terlantar, Adnan kini bergantung sepenuhnya kepada isteri serta anak-anaknya untuk melakukan kerja rumah dan menguruskan dirinya.
Walaubagaimanapun, Adnan berkata, meskipun hidup dalam serba kekurangan dan kesempitan, beliau bersyukur, anak-anaknya tidak pernah merungut dan mereka seolah-olah faham dengan kesusahan yang dihadapinya.
“Isteri saya tidak dapat bekerja kerana tiada orang yang dapat menguruskan anak bongsu (Khairul Iqmal) untuk ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Hj Wan Jaafar, Kampung Masjid Ijok.
“Dia bersama abangnya yang berusia 14 hinga 18 tahun seolah-olah memahami kesusahan yang saya lalui kerana mereka tidak pernah merungut walaupun tidak dapat hidup selesa seperti insan lain,”ujarnya.
Adnan berkata,Khairul Iqmal mengalami cacat anggota badan. Meskipun begitu, anak bongsunya itu sangat aktif dan amat meminati lukisan.
Sementara itu, Aslia berkata, beliau amat mengharapkan agar suaminya dapat kembali sembuh seperti sedia kala.
“Sebelum ini, suami bekerja sebagai mekanik motor, sejak dia kemalangan, dia tidak dapat bekerja lagi mencari nafkah dan kami sekeluarga hanya harap pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sedih melihat suami sakit begini. Dia seorang ayah dan suami yang tidak pernah tahu erti penat siang malam bekerja untuk menyara keluarga.
“Dialah kawan dan suami tempat saya bersembang. Saya redha dengan ujian Allah ini dan akan tetap menjaganya sehingga ke akhir hayat,”ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubungi Adnan di talian 013-457 2656.