IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titahnya memberi penekanan kepada sifat benar dan sifat amanah memainkan peranan utama dalam kepimpinan Rasulullah dan perlu dijadikan pegangan para pemimpin pada masa kini.
Titah baginda, kedua-dua sifat tersebut merupakan paksi utama untuk memastikan para pemimpin berupaya menunaikan tanggung jawab dengan jujur dan ikhlas, adil dan saksama.
“Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir dengan kehidupan di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung.
Titah baginda, sifat amanah adalah penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara.
Baginda bertitah demikian semasa menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Aman Jaya Casauarina@meru hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda, Tunku Suraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta pegawai kanan kerajaan negeri.
“Perbuatan pecah amanah boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang boleh melemahkan sesuatu pemerintahan lalu memudahkan kerja-kerja musuh dari luar.
“Rasulullah menegaskan bahawa manusia hendaklah berpegang kukuh kepada landasan tauhid, mengesakan ALLAH yang satu; dan kerana itu Baginda menegah sebarang bentuk perbuatan yang boleh menjurus kepada berlakunya pendewaan ke atas diri Baginda.
“Demikian tanggungjawab yang wajib difahami oleh ummah ketika mengatur urusan kehidupan alam dan manusia,”titah baginda.
Baginda turut bertitah, agama Islam menekankan prinsip kebenaran dan prinsip itu tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Kebenaran sama sekali tidak boleh dilindungi kerana keadilan boleh tergugur apabila kebenaran dikompromikan.
“Mempertahankan kebenaran dan menyuarakan kebenaran adalah satu tuntutan, disifatkan sebagai satu jihad,” titah Baginda.
Titahnya lagi, jika urus tadbir dilaksanakan berpaksikan kejujuran serta keikhlasan, jika setiap hukum dijatuhkan berpaksikan kebenaran serta keadilan, jika setiap khazanah dikendalikan secara amanah dan telus, berbahagialah para ulama dan para umara kerana telah berjaya menyempurnakan tanggungjawab masing-masing berlandaskan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunah Rasul.
“Para ulama dan para umara, semoga segala yang disempurnakan mendapat keredaan ILAHI dan diterima sebagai amal makruf yang akan dilimpahkan rahmat baik di dunia mahupun di akhirat,” titahnya.
Titah baginda lagi, Ummah pada hari ini adalah generasi yang tidak berpeluang untuk berada bersama di sisi Baginda kerana Baginda telah lama wafat namun ummah pada hari ini adalah generasi yang telah mewarisi dua perkara yang telah Baginda tinggalkan berdasarkan sabda;
“Aku tinggalkan kepada mu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan tersesat jika kamu berpegang kepada dua perkara tersebut; ia itu Al-Quran al-Karim dan Sunah ku.”
Titah Baginda lagi, ummah pada hari ini juga berada dalam kedudukan yang boleh meletakkan diri masing-masing di kalangan makhluk yang boleh dikagumi dengan melandaskan amalan hidup berdasarkan Al-Quran dan Sunah Rasul.
“Semangat tabligh dan semangat fatanah Baginda Rasulluah sewajibnya diselami dan diamalkan agar ummah akan berupaya mengembangkan semangat ukhuwah dan silaturahim sesama manusia,” titah baginda.