IPOH: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Perak kini berhadapan dengan beberapa ancaman baharu iaitu risiko kemalangan melibatkan kenderaan yang membawa muatan merbahaya dan melalui lebuhraya di sepanjang negeri ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis, Perak mempunyai rangkaian lebuh raya paling panjang di Malaysia melibatkan sejauh hampir 180 kilometer bermula dari Tanjung Malim hingga ke Bagan Serai.
Bomba katanya sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada proses membantu dari segi masalah pengstoran dan pemprosesan di kilang-kilang dan kawasan industri yang mengunakan bahan-bahan merbahaya.
“Ancaman kini pula melibatkan pengangkutan bahan-bahan merbahaya yang tidak dimaklumkan kepada pihak Bomba semasa melalui lebuhraya negeri ini,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas menghadiri Perhimpunan bulanan Jabatan Bomba Perak di sini hari ini.
Tambahnya lagi,sekiranya berlaku kemalangan melibatkan bahan-bahan berisiko itu ianya perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak membahayakan penduduk dan pengguna jalan raya sekitarnya.
“Ancaman ini tidak hanya kepada pemandu kenderaan itu sahaja, tetapi kepada kenderaan sekeliling dan penduduk setempat,” ujarnya.
Tambahnya, situasi tambah bahaya sekiranya kejadian kemalangan melibatkan kenderaan tersebut berlaku pada musim perayaan dan hujung minggu serta melibatkan kawasan penempatan penduduk yang pastinya tindakan pengosongan kawasan perlu dilakukan bagi menggelakkan kejadian tidak diingini.
“Jika pemandu kenderaan yang membawa muatan merbahaya meletakkan tanda amaran pada kenderaan akan membantu namun ada segelintir tidak mengendahkannya.
“Bukan sahaja membahayakan orang ramai tetapi juga pegawai Bomba yang bertindak dalam proses menanganinya,” katanya lanjut.
Tambahnya lagi, pemilik kenderaan muatan merbahaya tersebut seharusnya perlu lebih teliti dari segi penyelenggaraan pengangkutan yang digunakan selain pemandu kenderaan yang dilantik juga seharusnya diberikan pendedahan menyeluruh untuk menangani risiko membawa muatan bahaya berkenaan.
Pihak Bomba katanya dalam proses persiapan dalam mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan asas kepada kesemua pegawai Bomba selain menyediakan kelengkapan asas dan sentiasa lebih berhati-hati.
“Persiapan tertumpu bagi balai-balai yang berhampiran dengan lebuhraya sekitar negeri ini,” katanya lagi.
Setakat tahun ini sahaja pihak Bomba berhadapan dengan lima kes kemalangan melibatkan kenderaan yang membawa muatan seperti radioaktif,asid dan ammonia.
“Syarikat yang terlibat perlu menyediakan pemandu yang terlatih untuk memandu kenderaan tersebut bukan sekadar hanya memiliki lesen tetapi sijil menguruskan pelbagai situasi bahaya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada perhimpunan tersebut itu juga turut berlangsung penyerahan 9 buah jentera melibatkan jentera tanker prime mover dan 6 buah dan van Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Kesemua jentera tersebut akan diagihkan ke balai-balai yang terpilih sekitar negeri ini mengikut keperluan.
“Sebanyak 13 van telah diserahkan sebelum ini menjadikan keseluruhan 19 buah dan lapan jentera tanker juga telah digunakan,” katanya.
Tambah Yahya lagi, segala keperluan yang dibekal akan digunakan secara optimum ada keperluan lain mengikut tahap kecemasan di setiap kawasan.