Quantcast
Channel: Perak Hari Ini – Perak Today
Viewing all articles
Browse latest Browse all 5825

Remaja OKU Miliki Syarikat Sendiri, Tekad Bantu Golongan Senasib

$
0
0

KAMUNTING: Tiada siapa menjangka seorang remaja yang tergolong dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) mampu untuk memiliki sebuah syarikat perusahaan sendiri.

Noor Azizah Muhammad Zamri, 19 tahun membuktikan kekurangan yang ada pada dirinya tidak pernah menjadi penghalang untuk berusaha dan menjadi orang yang berputus asa.

Jika dilihat daripada luarannya, Azizah kelihatan seperti remaja normal yang lain tetapi sebenarnya beliau menghadapi masalah kesukaran lambat untuk membaca dan belajar.

PERAK TODAY 1

Dibimbing kedua-dua ibu bapanya iaitu Muhammad Zamri Abdullah, 47 tahun dan Noormah Kamarudin, 49 tahun, anak kedua dari empat orang adik-beradik ini mula mengusahakan produk berasaskan wangi-wangian sejak dua tahun lalu.

“Pada mulanya, ayah saya berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual produk wangian milik orang lain, dan ketika itu saya sering membantu ayah saya untuk menjual produk itu di pasar malam.

“Kemudian apabila saya berumur 17 tahun, saya sudah tidak berminat untuk meneruskan pelajaran dalam pendidikan khas kerana saya lebih berminat untuk berniaga.

PERAK TODAY 7

“Jadi guru besar sekolah saya mencadangkan kepada kedua ibu-bapa saya untuk membuka satu syarikat berasaskan produk wangian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak dan Semenanjung Malaysia (JTK) dan Yayasan Emkay Badan Amal dan Kebajikan MK (YMK),” ujarnya ketika ditemui wartawan Perak Today.

Mula beroperasi pada tahun lalu iaitu 6 Ogos 2014, syarikat perusahaannya yang diberi nama Ariff Kasturi Enterprise yang terletak di Kampung Pinang, di sini, kini memiliki tujuh orang pekerja OKU yang dilatih oleh ibu-bapa Azizah sendiri.

Menurut Azizah, beliau bertekad mahu membela nasib rakan-rakannya yang tergolong dalam golongan OKU dan melalui syarikat miliknya, golongan ini mampu untuk meraih pendapatan sendiri.

“Saya memang mahu membantu rakan-rakan saya dan golongan OKU yang lain kerana di luar sana, ramai orang tidak mahu ambil mereka sebagai pekerja kerana kekurangan yang mereka miliki, tetapi bagi saya kekurangan itu adalah satu rahmat dan kelebihan yang tuhan beri dan ianya dibuktikan dengan kejayaan pekerja-pekerja yang bekerja di sini.

“Setiap minggu, sebanyak 2000 produk dikeluarkan untuk pasaran di semenanjung, dan kebanyakannya di jual melalui agen-agen dan melalui penghantaran pos,” katanya.

Tambahnya lagi, Ariff Kasturi Enterprise merancang untuk menambah lagi pekerja pada masa akan datang kerana permintaan produk miliknya sangat tinggi dan jumlah pekerja yang ada pada masa sekarang tidak mencukupi.

“Sesetengah pekerja OKU melakukan kerja agak lambat kerana keadaan mereka yang tidak mengizinkan, jadi saya merancang untuk menambah beberapa orang lagi pekerja OKU bagi menampung permintaan pasaran yang tinggi.

“Kerja-kerja yang dilakukan mereka adalah seperti menampal pelekat produk, mengisi wangian, menyusun produk dan lain-lain lagi,” ujar Azizah.

PERAK TODAY 3

Sementara itu, ibu Azizah, Noormah menyatakan untuk melatih pekerja-pekerja OKU ini memerlukan komitmen dan kesabaran yang sangat tinggi.

PERAK TODAY 2

“Selalunya anak-anak istimewa ini sangat sentitif dan tidak boleh berada dalam keadaan tertekan, jadi saya sentiasa mengajar mereka dengan cara yang lebih mesra dan tidak memarahi mereka sekiranya mereka melakukan kesalahan.

“Perkara yang paling saya kagumi tentang anak-anak istimewa ini adalah mereka melakukan kerja dengan sangat ikhlas dan tidak pernah mengelat, setiap kerja yang mereka lakukan adalah sangat teliti,” ujar Noormah.

Jelas  Noormah lagi, syarikat milik anaknya itu baru mempunyai satu cawangan dan mereka sekeluarga bercadang untuk menambah cawangan yang lain pada masa akan datang kerana permintaan pasaran yang sangat menggalakkan.

PERAK TODAY 5

Ariff Kasturi Enterprse kini memiliki produk-produk sendiri seperti wangian badan berasaskan kasturi, wangian terapi, wangian kereta dan kediaman, sabun muka, pakaian dan kraftangan.

PERAK TODAY 4


Viewing all articles
Browse latest Browse all 5825