IPOH: Program Sekalung Budi yang dianjurkan oleh Majlis Masyrakat Sivil (MMS) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah tanda keprihatinan pihak berkenaan terhadap masyarakat khususnya golongan yang kurang bernasib baik.
Program yang dianjurkan buat kali kedua tersebut adalah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik untuk menyambut perayaan, dan pada kali ini ianya bersempena dengan perayaan Hari Deepavali.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, penganjuran progam seperti ini penting kerana ianya menunjukkan tugas MBI bukan sahaja untuk menjaga Bandar Ipoh, tetapi juga turut mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat.
“MBI turut menguruskan 31 warga kota di bawah senarai e-Kasih yang mana mereka ini menerima bantuan sewa rumah daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM1,488 setahun.
“Mereka juga diberi peluang untuk berniaga secara kecil-kecilan di 40 buah gerai e-Kasih yang telah dibina di sekitar Bandaraya Ipoh,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Program Sekalung Budi Siri Kedua yang diadakan di Dewan Bandaran Ipoh di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 200 orang terdiri daripada bangsa India, Melayu dan Cina telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan juga kewangan.
Majlis kali ini juga memperlihatkan kelaianan kerana terdapat penerima daripada kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Tambahnya, terdapat beberapa jabatan di negeri ini seperti Jabatan Veterinar dan Jabatan Kebjikan Masyarakat turut menawarkan kursus-kursus kemahiran untuk diikuti golongan masyarakat yang tersenarai di bawah program e-Kasih.
Dalam pada itu, Ketua WHIP, MMS, Bandaraya Ipoh, Mohd Sani kamaruddin berkata, “Kita tidak boleh membuat semua orang menjadi kaya, tetapi kita boleh membuat seseorang ataupun masyarakat merasai keselesaan kesejahteraan,”.
Beliau tidak menolak kemungkinan majlis seperti ini akan dianjurkan sekali lagi pada masa akan datang.