
BAGAN DATOH : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri menegaskan, pihaknya sentiasa memantau setiap tindakan yang dilakukan oleh Ketua militan Malaysia yang berpangkalan di Syria, Muhamad Wandy Mohamad Jedi.
Terdahulu, Muhamad Wandy dilaporkan sebuah akhbar tempatan mengulangi akan terus melakukan ancaman dan menimbulkan kekacauan di negara ini sambil menyifatkan polis sebagai ‘pengacau.’
“Wandy berada di Syria dan beliau terus berkomunikasi dengan pengikut-pengikut beliau melalui media sosial.
“Pihak Unit Anti Keganasan sentiasa memantau setiap patah perkataan dan setiap maklumbalas yang disampaikan. Kita juga turut melakukan pemantauan melalui kaedah-kaedah lain,”katanya ketika ditemui di majlis penyerahan 130 ekor lembu korban bagi kawasan Bagan Datoh, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh turut berkata, arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Wandy itu adalah arahan untuk memperlihatkan prestasi ketua militan dari Malaysia itu.
“Oleh kerana beliau mahu terlibat di nusantara ini, kegiatan-kegiatan pengeboman dilakukan secara terbuka atau dengan meletupkan diri sendiri adalah satu prestasi untuk menentukan beliau akan berada di tahap pemimpin-pemimpin Daesh yang telah menyumbangkan keganasan dan ancaman di nusantara ini.
“Kita tahu bahawa ada dikalangan pengikut-pengikut mereka di Malaysia mahu mengambil tindakan sebagaimana yang telah diarahkan untuk mewujudkan kononnya kerajaan Islam di nusantara meliputi bukan sahaja Malaysia.
“Tetapi atas kebersamaan pasukan keselamatan di seluruh negara-negara Asean, kita berkongsi maklumat apa yang dilakukan olehnya,”jelas Ahmad Zahid.
Ujarnya lagi, ancaman Daesh ini bukanlah manipulasi, publisiti atau diada-adakan sebaliknya adalah benar.
Berikutan itu, kata Timbalan Perdana Menteri berkata, kesiapsagaan bukan sahaja di kalangan anggota keselamatan tetapi juga rakyat keseluruhannya.