
IPOH: “Segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik,” ujar Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan terhadap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Zambry berkata, tindakan tersebut disebabkan mereka menyedari bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dijatuhkan oleh satu-satu pihak.
“Ini mungkin disebabkan mereka merasakan bahawa dalam usaha untuk jatuhkan Perdana Menteri tidak boleh dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Mahathir ataupun dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Anwar.
“Selama ini mungkin mereka anggap bahawa Najib ini hanya boleh ditumpaskan oleh seorang sahaja, tetapi dalam keadaan yang sama kita lihat sokongan, dokongan dan kepimpinan Datuk Seri Najib itu tetap terus berada di persada politik nasional dan beliau terus memimpin,”katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ujarnya, tidak mustahil bahawa kedua-duanya akan cuba melakukan pendekatan lain untuk tujuan tersebut.
“Saya tidak nampak daripada segi pendekatan-pendekatan yang dilakukan sebagai satu perkara yang diluar dari kebiasaan tetapi kemungkinan itu akan berlaku.
“Mungkin hari ini berlaku sebegini, esok berlaku pendekatan yang lain lagi sebab niatnya satu sahaja seperti yang saya sebutkan tadi (ingin menjatuhkan Perdana Menteri),” katanya lagi.
Tegasnya, beliau tidak mahu beranggapan bahawa pakatan yang dibuat oleh Tun Mahathir dan Anwar tidak menjejaskan parti, sebaliknya ia menjadi penyebab kepada parti untuk terus bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.
“Kita dalam parti (UMNO) tidak boleh mengambil mudah setiap perkara bukan hanya pakatan yang dibuat oleh Tun M dan Anwar, tetapi kita sendiri perlu bersiap siaga dalam setiap keadaan dan kesiap siagaan kita untuk berhadapan dengan segala kemungkinan… Jangan ambil mudah dan hanya menganggap ianya tidak ada apa,”tegasnya.