
IPOH:Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak memandang serius mengenai gejala penagihan dadah yang sangat berleluasa di semua peringkat sama ada dalam mahupun luar bandar ketika ini.
Pengarah Komunikasi,Pemuda AMANAH Negeri Perak Muhammad Faeez Azahar berkata perkembangan ini sangat membimbangkan malah akan meruntuhkan moral serta akhlak di kalangan masyarakat khususnya golongan muda yang sangat cenderung kepada aktiviti ini.
“Kami menyokong penuh ketegasan yang dilontarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap gejala penagihan dadah khususnya di negeri ini yang semakin membimbangkan.
“Namun ketegasan ini perlu diterjemahkan melalui usaha bersepadu dan konsisten oleh kerajaan melalui semua pihak dan agensi,” katanya memetik sumber kenyataan media hari ini.
Katanya perkara yang disuarakan oleh Zambry itu menzahirkan bahawa gejala ini semakin berleluasa dan gagal dibasmi dengan berkesan melalui usaha yang dijalankan sebelum ini.
“Masyarakat secara tidak langsung berasa bimbang dan khuatir dengan gejala ini yang akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang.
“Ketegasan Zambry terhadap ketua kampung baru-baru ini disambut baik namun tanggungjawab tersebut tidak sewajarnya diletakkan di bahu mereka semata-semata sebaliknya perlu melihat dari konteks menyeluruh. Ketua kampung tidak mempunyai kuasa dan kemampuan untuk menanganinya,” katanya.
Tambahnya, nasihat dan amaran melalui papan tanda, iklan, kain rentang dan sebagainya ini adalah kaedah ‘turun temurun’ yang wajar diteruskan, namun Amanah berharap terdapat usaha yang lebih ‘segar’ oleh pihak kerajaan agar ia lebih berkesan.
“Pembasmian ini perlulah menyeluruh, sewajarnya ia dibasmi di peringkat awal lagi.
“Apabila dadah ini mudah untuk menyusup masuk ke semua peringkat termasuklah ke kampung-kampung, maka gejala ini semakin rancak bermaharajalela dan sukar untuk dikawal.
“Kami berharap agar pihak berwajib dapat memikirkan kaedah penyelesaiannya yang lebih berkesan demi menyelamatkan masyarakat khususnya golongan muda belia,” katanya lagi.