
KUALA KANGSAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukan sejumlah lebih RM300,000 untuk nelayan darat di Kampung Senggang di sini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peruntukan tersebut termasuklah pembinaan jeti dan beberapa projek lain.
Jelasnya, ia bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada nelayan darat untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan dan juga penjualan hasil tangkapan mereka
“Kementerian telah mennyampaikan sumbangan dan salah satu daripadanya adalah jeti bagi nelayan yang mana kita letakkan batu asas pada hari ini dengan kos lebih kurang RM200,000.
“Kita harap jeti ini memudahkan nelayan untuk membawa hasil tangkapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peletakan Batu Asas Kemudahan Jeti Nelayan Darat Kampung Senggang dan Pembayaran Tunai Elaun Sara Hidup Nelayan Darat.
Selain itu, beliau berkata, kementerian turut meluluskan peruntukan untuk pusat memproses ikan pekasam.
“Kita juga meluluskan pasar nelayan berjumlah RM50,000. Kita nak nelayan bukan hanya menjadi penangkap ikan tetapi juga penjual, usahawan nelayan.
“Jadi mereka mendapat hasil lebih banyak daripada jualan dan menceburkan diri dalam bidang penjual dan pemasaran,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kementerian juga telah meluluskan pusat pengumpulan hasil tangkapan bagi nelayan darat tersebut.
“Kita nak supaya ianya dapat dikumpulkan di satu tempat di satu pusat. Di situ juga boleh uruskan aktiviti lain seperti penjualan dan menjadi pusat pengedaran yang mana produk itu dapat diedarkan ke mana juga nak dijual oleh nelayan-nelayan,” jelasnya.
Ujarnya, pusat pengumpulan itu juga akan menyediakan pelbagai kemudahan daripada segi bakul, kotak dan sebagainya untuk menjaga produk selain kualiti dan keselamatannya dapat dipelihara.
Sementara itu, Tajuddin berkata, dengan adanya kesemua kemudahan berkenaan, ia secara tidak langsung dapat menarik pelancong untuk datang ke kampung tersebut.
“Secara tidak langsung, pelancong-pelancong domestik ataupun luar boleh datang untuk melihat aktiviti perikanan di sini. Kita harap dapat beri kesan berganda kepada aktiviti nelayan di sini,” katanya.